Berpuluh pekerja Yayasan Felda akan dihentikan



KUALA LUMPUR: Yayasan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) dilaporkan akan memberhentikan atau memotong gaji berpuluh pekerjanya, lapor akhbar Singapura, The Straits Times (ST). Perkara itu disahkan Pengerusi Felda, Tan Sri Shahrir Samad dan Pengerusi Yayasan Felda, Datuk Seri Abdul Manan Ismail. Shahrir berkata ia sebahagian rancangan penstrukturan semulanya.

Felda yang berdepan skandal rasuah dan prestasi kurang memberangsangkan sayap syarikat senaraian awamnya, dilapor mengumumkan sebahagian daripada 68 pekerja Yayasan Felda akan dihentikan menjelang akhir tahun ini. Menurut laporan ST, walaupun jumlah itu kecil, langkah drastik itu mencerminkan bagaimana Felda perlu mengambil langkah untuk pulih daripada masalah dihadapinya.

Yayasan itu yang mendapat peruntukan tahunan RM10 juta, menguruskan kolej Felda, sebuah pusat dialisis dan kebajikan bagi peneroka serta keluarga mereka.

Shahrir ketika dihubungi berkata: “Ia untuk menyusun semula Yayasan Felda sejajar yayasan lain sepertinya.” Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Yayasan Felda, Datuk Seri Emel Faizal Mohd Mokhtar dibayar RM54,000 sebulan. Beliau dilantik ke jawatan itu pada 2011.

“Kami bukannya menutup Yayasan Felda, tetapi sudah tentu kami perlu melakukan penstrukturan semula,” kata Shahrir. Laporan itu memetik sumber di peringkat pengurusan berkata, 68 pekerja Yayasan Felda itu akan dihentikan atau diberi pilihan untuk meletak jawatan secara sukarela atau dipotong gaji. Surat rasmi dijangka dikeluarkan minggu ini.

Manan memberitahu: “Kita perlu mengurangkan perbelanjaan yayasan dan memfokuskan lebih banyak manfaat diberi kepada peneroka.” Shahrir berkata: “Ia bukan yayasan besar, tetapi kita mempunyai seorang CEO yang dibayar RM54,000 sebulan. Ia perlu diselaraskan. Saya fikir RM54,000 terlalu banyak.”

Skim gaji baharu akan dilaksanakan tahun depan, jika ada di kalangan 24 pekerja tetap memilih untuk meneruskan perkhidmatan mereka, manakala yang berhenti akan diberikan gaji pemberhentian.
Manan berkata, Felda akan memutuskan berapa ramai pekerja yang akan dikekalkan pada pertengahan bulan depan.

Bekas pengerusi Felda, Tan Sri Isa Samad meletak jawatan Januari lalu dan berdepan siasatan dakwaan jutaan dolar dihabiskan untuk membeli hotel di dalam dan luar negara pada harga lebih tinggi daripada pasaran.

Prestasi Felda Global Ventures (FGV) – syarikat senaraian awam Felda, tidak baik sejak disenaraikan di Bursa Malaysia pada 2012.

Susulan itu, dilaporkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak terpaksa “menyelamatkan ribuan peneroka Melayu Felda” yang membuat pinjaman untuk membeli saham FGV.

sumber: http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2017/11/30/laporan-berpuluh-pekerja-yayasan-felda-akan-dihentikan/

Comments

Popular posts from this blog

Watch and Earn

MHshuttle: The Convenient Way to Fly Between Singapore and Kuala Lumpur for Work

Cricket World Cup Final 2011